Wednesday, 8 June 2011

kari sotong 1

Bahan-bahan ( 2-4 orang )

  • 6-8 ekor sotong (sederhana besar)
  • *1 ulas bawang merah
  • *1 ulas bawang putih
  • *setengah biji bawang besar
  • *2 hiris halia
  • satu tangkai daun kari
  • 2 biji lada besar
  • 2 sudu makan serbuk kari
  • satu sudu makan serbuk kurma
  • sedikit air asam jawa
  • secubit garam
  • 1 sudu makan cili boh
  • 1 batang kulit kayu manis
  • (bahan yang bertanda * di mayang)

Cara-cara

  1. Panaskan minyak, tumis bawang besar bersama secubit garam.
  2. Apabila dah naik bau, masukkan kulit kayu manis, bawang putih, bawang merah, halia, cili boh dan daun kari. tumis hingga naik bau
  3. Kemudian, masukkan sotong dan serbuk kari serta serbuk kurma. tambah sedikit air jika perlu.
  4. Kacau dan terus tutup periuk untuk satu minit. (kecilkan api)
  5. Terus masukkan santan, lada besar dan kiub pati ayam. kacau hingga mendidih
  6. Masukkan gula dan air asam jawa secukup rasa.
  7. Bolehlah diangkat dan terus dihidangkan. ( pd sesiapa yg sukakan tomato blh jg dimasukkan sekali)

Sunday, 8 May 2011

memperbanyakkan air susu


[a] Berurut (dengan bidan).

[b] Banyakkan minum air/jus buah-buahan.

[c] Banyakkan minum susu. Sebaiknya mengambil hidangan susu 3 hingga 4 hidangan sehari.

[d] Pengambilan lebih makanan berprotein penting untuk penghasilan susu ibu.

[e] Makan nasi panas bersama halia muda (yang ditumbuk halus) dan dicampurkan dengan air asam.

[f] Minum air asam jawa yang direbus dengan gula merah bersama dengan 3 keping asam keping.

[g] Ambil beberapa helai daun betik sederhana muda. Rebus sehingga mendidih. Minum air rebusan itu 2 hingga 3x sehari.

[h] Ambil sebatang lobak putih. Cuci bersih dan kisar sehingga halus. Campurkan dengan segelas air suam. Minum 2x sehari.

[i] Sapu sedikit minyak kelapa pada daun sirih. Layurkan/salai pada api sehingga layu. Ketepikan sebentar. Setelah agak suam, tekapkan daun sirih tersebut pada payudara. Amalkan setiap hari.

Sayur-sayuran yang dapat membanyakkan air susu ibu:

  • Brokoli
  • Lobak Merah
  • Lobak Putih
  • Seleri
  • Kobis
  • Sawi Putih
  • Peria
  • Ulam Pegaga
  • Ulam Jantung Pisang [yang telah direbus]
Tips agar air susu ibu lancar:
  • Makan kulup daun betik setiap hari.

PENGAMBILAN JAMU

1. Phyto Natal [Nona Roguy]
Penjagaan lengkap untuk kesihatan dan kecantikan selepas bersalin.
Membantu menguatkan peranakan, melegakan meroyan, menggiatkan aliran susu ibu, menyerikan wajah, menurunkan berat badan dan mengencangkan badan.
2. Akar Herbanika [Nona Roguy]
Mengeluarkan susu badan yang lebih pekat dan segar untuk ibu-ibu dalam pantang bersalin.

berpantang tradisional melayu

This Blog
Linked From Here
This Blog
 
 
 
 
Linked From Here
 
 
 

03 June 2007

Berpantang Tradisional Melayu

[Credits to: ZORADATOLAKMA BT HJ DIN]

Bagi ibu-ibu muda tempoh berpantang merupakan satu pengalaman baru. Badan harus dirawat agar bila tamat tempoh berpantang, anda tetap kelihatan segar semula seperti sebelumnya.

Berpantang merupakan tempoh waktu membosankan bagi setiap wanita selepas bersalin kerana menunggu selama 44 hari ibarat bertahun lamanya. Namun bagi mereka yang tahu akan rahsia berpantang, saat ini dipergunakan semaksimanya untuk mengembalikan kecantikan dan kesihatan diri luar dan dalam.

Amalan yang diwarisi daripada nenek moyang tidak sukar dilakukan, malah dedaun dan herba yang digunakan bagi tujuan rawatan, kini boleh dibeli di pasar harian.

Bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk mendapatkan dedaun, rempah-ratus dan herba untuk tujuan rawatan sendiri, bolehlah mendapatkan set bersalin lengkap yang sedia dijual di pasaran.

Kini terdapat pelbagai gedung kecantikan yang menjual dan menawarkan rawatan kecantikan khas bagi ibu bersalin seperrti Mustika Ratu, Lia Sari, Sari Ayu, Nona Roguy dan banyak lagi.

RAWATAN TRADISIONAL

Kebanyakan wanita muda masih mengutamakan cara perubatan tradisional serta petua daripada orang tua-tua bagi menjaga kesihatan diri sewaktu mengandung dan berpantang.

Biasanya amalan berpantang cara orang dulu-dulu dilakukan dengan bimbingan orang yang lebih tua. Kaedahnya pelbagai, bergantung kepada keturunan dan budaya seseorang.

Misalnya, cara wanita Kelantan mungkin berbeza dengan orang utara. Begitu juga ibu berketurunan Jawa, Arab, Cina atau India berbeza petua dan rahsia yang menjadi amalan mereka.

Walau apa jua cara yang digunakan, tujuannya tetap sama iaitu ingin menyembuhkan luka dan kesakitan ibu ketika bersalin dan selepas bersalin.

Banyak perkara misteri yang masih belum terhurai dan terjawab tentang rawatan selepas bersalin secara tradisi Melayu warisan pusaka. Apa lagi kalau hendak dihuraikan secara saintifik kerana masih belum ada penyelidikan dijalankan untuk membuktikan kebaikannya terhadap kaum wanita.

Namun kita sedia maklum akan khasiat herba dalam mengubati beberapa penyakit seperti akar Tongkat Ali atau nama sainsnya Eurycoma longfolia, Bunga Pakma dikenali juga sebagai Rafflesia, Kacip Fatimah iaitu Labisia pumila dan lain-lain lagi.

Rawatan dalam berpantang boleh dikategorikan kepada beberapa perkara dan menggunakan ramuan-ramuan yang tertentu.

Antara rawatan tersebut adalah bertungku, berurut, mandi herba dan mandi lulur, bertangas, memakai bengkung, berpilis, bertasak, minum air akar kayu dan jamu serta berpantang makan dan minum.

BERTUNGKU

Amalan bertungku merupakan amalan tradisional yang penting ketika berpantang. Tidak lengkap berpantang sekiranya tidak bertungku.

Biasanya tungku diperbuat daripada besi sebesar botol 500ml dan beratnya kira-kira 1.5kg. Bertungku juga tidak semestinya menggunakan besi kerana batu sungai atau anak lesung juga boleh digunakan.

Ini kerana kesan bertungku bukan terletak kepada beratnya tungku tetapi tahap kepanasannya yang dapat meresap hingga ke dalam.

Besi atau batu tungku perlu dipanaskan terlebih dahulu selama 1/2 - 1 jam di atas api yang sederhana. Kemudian tungku perlu dibalut dengan kain cita yang telah dilapik dengan daun mengkudu yang dikenali sebagai Morinda citrifolia.

Jika daun Morinda citrifolia tiada maka daun sirih iaitu nama sainsnya Piper betel atau daun lengkuas juga boleh digunakan.

Kesan panas dari tungku akan meresap ke dalam daun dan sekaligus bertujuan merawat bahagian badan semasa proses bertungku.

Proses bertungku dilakukan sambil berbaring dan tungku ditekan perlahan-lahan pada sekitar pangkal paha, berhampiran ari-ari/ bawah pusat dan di atas perut (bawah buah dada).

Untuk kesan tungku yang lebih baik tapak kaki serta tumit juga perlu ditungku.

Amalan bertungku ini penting memandangkan ia dapat menghangatkan badan ibu, membuang angin, mengecutkan urat yang kembang selepas bersalin di samping memperbetulkan serta melancarkan perjalanan darah.

Biasanya darah nifas mengalir lebih lancar selepas bertungku.

Justeru, bertungku adakala diteruskan hingga keluar darah terakhir berwarna seakan-akan putih keperangan atau dipanggil darah meroyan. Jika ibu rajin bertungku bolehlah diteruskan hingga habis pantang.

BERURUT MENYEGARKAN BADAN

Urut juga merupakan amalan penting dalam pantang. Ia hendaklah dilakukan setiap pagi sebelum mandi atau selepas bertungku. Pastikan rawatan ini dilakukan oleh bidan atau tukang urut yang berpengalaman.

Amalan urut perlu dilakukan seminggu selepas bersalin selama tiga hari berturut-turut. Bagi yang ingin merasa lebih segar, amalan berurut boleh dilakukan pada penghujung pantang iaitu hari ke 42, 43 dan 44 diikuti pada hari ke 60 dan ke 100 selepas berpantang.

Sebaiknya mulakan urutan pada sebelah pagi dan proses ini mengambil masa lebih dari satu jam.

Urut bertujuan memulihkan kesegaran badan, melancarkan peredaran darah, membuang angin, membetulkan urat, memperkemaskan bahagian perut dan mempercepatkan pengeluaran darah nifas serta kekotoran.

Urut hendaklah menggunakan minyak. Kini terdapat banyak minyak yang menggunakan herba dan khasiat tumbuhan yang dijual di pasaran. Misalnya minyak serai wangi, minyak kayu putih dan lain-lain lagi.

Namun jika rajin kita sendiri boleh membuat minyak urut.

Berikut adalah ramuan dan cara membuatnya:
  • Minyak kelapa [Dibuat sendiri menggunakan santan daripada sebiji kelapa, dimasak hingga menjadi minyak]
  • 3 camca besar halba
  • 4 cm halia (Zingiber officinale)
  • 4 cm kunyit hidup (Curcuma domestica)
  • 3 ulas bawang putih (Allium sativum)
  • 5 biji bawang merah (Allium cepa)
  • Cara membuat: Tumbuk kasar halia, kunyit hidup, bawang putih dan bawang merah. Masak bersama halba dan minyak hingga panas. Sejukkan dan simpan di dalam bekas kering agar tahan lama.
MANDI
Mandi tidak boleh terlalu kerap semasa berpantang. Oleh itu adalah lebih baik mandi menggunakan air rebusan dedaun ataupun mandi lulur menggunakan lulur.
[A] Mandi Dedaun
Setelah selesai bertungku dan berurut, lebih elok mandi menggunakan air rebusan daun daripada air biasa, kerana setiap daun yang digunakan mempunyai khasiat tersendiri.
Sebolehnya sepanjang tempoh berpantang, mandi hendaklah sepenuhnya menggunakan air rebusan daun atau sekurang-kurangnya selama dua minggu.
Jika di kampung, banyak daun kayu dan pucuk muda digunakan ibu atau nenek kita untuk mewangikan air mandi kala berpantang.
Antara daun yang boleh digunakan adalah daun kunyit terus, daun lenggundi (Vitex negundo), daun secerek, daun pandan, daun lengkuas, daun serai wangi, daun pisang kelat, daun capa, daun inai (Lawsonia terma), daun bonglai, daun mengkudu (Morinda citrifolia) dan rempah halba.
Sekiranya ramuan ini payah dicari di bandar-bandar maka ibu-ibu boleh mendapatkan daun-daun yang dijual di pasar atau mudah dicari di rumah-rumah jiran berhampiran.
Berikut ialah contoh ramuan yang diperlukan untuk menyediakan air rebusan untuk mandi:
  • 1/2 pelepah daun pisang kering atau daun pisang segar
  • 10 helai daun limau purut
  • 6 batang daun serai bersama serai
  • Halia muda sebesar 4 kali ibu jari
  • 7 helai daun pandan wangi atau pandan biasa
  • 2 helai daun kunyit hitam atau temu kunci
  • Seketul lengkuas atau 3 helai daunnya
  • Segenggam halba (dipunjutkan)
CARA MENYEDIAKAN AIR MANDI:
  • Ambil periuk tanah ukuran sederhana.
  • Sediakan bahan-bahan di atas.
  • Basuh bersih-bersih dan jerangkan bersama air di atas api yang sederhana.
  • Masukkan halba yang dipunjutkan.
  • Setelah air panas, ambil air rebusan ini dan campurkan dengan air pili dan pastikan suhu air, suam-suam kuku sahaja.
Mandi air rebusan dedaun ini juga seharusnya mengikut petua orang tua-tua.
Mulakan menjirus pada bahagian ibu jari [kaki kanan] dahulu diikuti kaki [kaki kanan] kanan hingga ke pinggang. Ulang pada kaki kiri.
Adalah penting memulakan jirus pada bahagian kaki supaya urat tidak tersentak apabila terkena air. Kemudian ulang semula menjirus kaki hingga ke bahu kanan. proses yang sama dilakukan pada bahagian kiri dan seterusnya barulah mandi keseluruhan badan.
Daun-daun rebusan tadi boleh digunakan untuk menggosok badan agar khasiat dan harumannya meresap ke dalam kulit.
Punjut halba juga boleh digunakan untuk menggosok badan kerana ia dapat membantu memejalkan otot disamping menghalang air dari masuk ke dalam badan.
Adalah dipercayai amalan mandi cara ini dapat mengeluarkan angin di dalam badan, mengendurkan otot, menghaluskan kulit dan untuk tujuan awet muda.
[B] Mandi Lulur
Sebenarnya ilmu merawat wajah dan tubuh ini telah dikenali dan diamalkan kaum wanita sejak zaman dahulu lagi umpamanya puteri raja Mesir dahulu kala menggunakan kaedah mandi lumpur yang kaya dengan mineral untuk mencantikkan kulit.
Begitu juga warisan nenek moyang kita sendiri yang membuat bedak lulur menggunakan campuran tepung beras, tulang sotong dan daun nangka, bedak sejuk cekur atau bedak kulit ari daripada batang rambai untuk melulur kulit.
Sebelum mandi seluruh tubuh akan dilulur dan bahan yang terkandung di dalam lulur bertindak sebagai ‘scrub’ bertujuan membuang daki-daki yang melekat pada kulit. Dalam masa yang sama sel-sel mati akan turut tertanggal.
Bagi yang berkemampuan mereka boleh mendapatkan khidmat rawatan mandian di pusat-pusat kecantikan yang terdapat di negara kita.
Kebanyakan ramuan mandian yang digunakan adalah berupa ramuan herba, akar kayu dan rempah ratus yang mempunyai khasiat rawatan yang tersendiri.
BERTANGAS
Ia dilakukan selepas mandi.
Amalan ini penting agar luka dan jahitan cepat sembuh. Bahagian sulit juga cepat kering dan ketat, mengecut rahim serta otot-otot yang kembang dan mengelakkan prolapse (keluar tombong).
Berbagai ramuan boleh digunakan untuk bertangas seperti kemiyan yaman, jintan hitam, halba dan lain-lain.
Ramuan Tangas:
  • 9 keping asam gelugur
  • 2 camca besar garam jantan
  • 3 helai daun sirih (Piper betel)
  • Segenggam inai (Lawsonia terma)
  • Halia sebesar ibu jari (Zingiber officinale)
  • 3 biji manjakani
  • Caranya : Rebus semua bahan bersama air hingga mendidih. Angkat dan tangas selama kira-kira 20 minit. Untuk hasil yang baik ia dilakukan dua tiga kali sehari hingga 44 hari. Air yang sudah sejuk jangan dibuang, sebaiknya jadikan pencuci bahagian sulit.
PEMAKAIAN PARAM, PILIS, TAPEL, JADAM DAN BENGKUNG
Selain dari rawatan dalaman, kita perlu juga mengamalkan rawatan luaran.
Antaranya ialah pemakaian param ke seluruh badan supaya badan tidak masuk angin dan memakai pilis.
Pilis disapukan memanjang menutupi dahi bertujuan untuk menghilangkan rasa pening yang sering dialami oleh wanita bersalin.
Seterusnya sebelum memakai bengkung, sapukan perut dengan tapel (ubat barut) yang dicampurkan dengan 5 titik minyak kayu putih, 3 titik minyak gandapura, kapur sirih dan perahan limau nipis.
Khasiat tapel adalah untuk mengurangkan rasa sakit-sakit di perut selepas bersalin, mempercepatkan pengeluaran darah kotor, mengempiskan perut serta memulihkan kondisi kulit perut.
Selain menggunakan tapel, ramuan berjadam juga boleh digunakan untuk mengecutkan perut serta membuang angin di dalam badan sewaktu berbarut.
Antara ramuan berjadam adalah seperti berikut:
  • Segenggam jadam (diperbuat dari kayu gaharu atau lidah buaya)
  • Halia (Zingiber officinale) sebesar ibu jari
  • Isi kunyit terus sebesar ibu jari
  • 3 ulas bawang putih (Allium sativum)
  • Asam jawa (Tamarindus indica) sebesar bola ping-pong
  • Secawan air kosong
  • Periuk tembikar dan sudip
  • Cara membuatnya: Masukkan jadam di dalam periuk tanah. Tumbuk halia, isi kunyit terus dan bawang putih selumat-lumatnya. Kemudian gaul dengan jadam dan campur perahan air asam jawa. Jerang di atas api perlahan hingga mengggelegak.
Cara menyapu jadam:
Biarkan jadam suam-suam kuku. Bentang barut dan baring di atasnya. Selepas itu sapu jadam pada seluruh perut hingga ke bahagian ari-ari. Tutup dengan kain kecil dan ikat barut dengan kemas. Seterusnya untuk lebih kemas pakailah bengkung.
BERBENGKUNG
Bengkung haruslah diikat ketat dan kemas meliputi bahagian punggung, perut sehingga bahagian bawah payu dara.
Ini untuk mengelakkan bahagian-bahagian seperti punggung dan perut mengalami pengumpulan lemak yang membawa gejala buncit dan mengendurkan punggung.
BERTASAK
Bertasak penting untuk memulihkan semula otot perut seperti sebelum melahirkan.
Sebaiknya ia dimulakan selepas seminggu bersalin, dan diminum selepas makan.
Ia hendaklah dilakukan sembilan hari berturut-turut, dua kali sehari pagi dan petang. Setiap tiga hari, bahan berlainan digunakan.
Caranya: Bahan-bahan ditumbuk sehingga lumat, dicampur setengah cawan air, ditapis dan diminum.
Pada hari pertama hingga ketiga: Segenggam daun inai iaitu Lawsonia terma, garam jantan (secukup rasa) dan 1/2 camca teh lada hitam atau nama sainsnya Piper nigrum.
Pada hari keempat hingga keenam: Gunakan segenggam daun senduduk yang dikenali dengan nama Melastoma malabathricum dan garam jantan.
Sementara pada hari ketujuh hingga kesembilan: Bahannya adalah 5cm kunyit iaitu Curcuma domestica, garam jantan dan 1/2 camca teh Piper nigrum.
MINUM AKAR KAYU DAN JAMU
Semasa tempoh berpantang ibu-ibu digalakkan minum air akar kayu dan jamu yang boleh dibeli terus dari penjual-penjual ubatan tradisional.
Minum air akar kayu dan jamu menyihatkan badan disamping mengembalikan kesegaran ibu di sepanjang tempoh berpantang. Minum air akar kayu turut membantu mengecutkan rahim secara rawatan dari dalam kerana khasiat dari campuran herba akar kayu yang digunakan.
Cara minum air akar kayu dan jamu turut mempunyai petua dan cara yang tersendiri dan diminum sebelum makan.
Tekan ibu jari kaki kanan ke atas ibu jari kaki kiri supaya rahim dan punggung tidak kembang. Tangan kiri digunakan untuk ampu payudara agar tegang sentiasa. Selawat tiga kali, tarik nafas dan kempiskan perut supaya tidak buncit. Minum senafas agar tidak terasa mual.
MAKANAN BERKHASIAT UNTUK YANG BERPANTANG
Jika merawat diri tetapi tidak berpantang makan, samalah seperti mandi tidak bersabun.
Pada minggu awal bersalin eloklah dimakan makanan yang kering bagi tujuan mengecutkan rahim.
Hidangan yang pedas, gatal, berlemak dan terlalu berminyak tidak elok dimakan.
Kalau ditanya pendapat orang tua-tua atau bidan kampung, mereka akan mengatakan ianya adalah untuk mengelakkan meroyan atau tempat peranakan menjadi licin dan tidak kembali ke tempat asalnya.
Minum air batu atau minum terlalu banyak air juga akan menyebabkan urat dan peranakan menjadi kembang.
Namun tidak diketahui sejauh mana kebenarannya akan perkara ini. Apa yang nyata, mengamalkan pantang makan selepas bersalin membuatkan ibu kembali sihat malahan anggun dan ceria kerana mengurangkan pengambilan lemak, gula dan minyak yang berlebihan.
Sebenarnya banyak hidangan yang boleh dijadikan menu ibu bersalin, dengan cara memasak yang berbeza, sama ada dipanggang, direbus atau dikukus.
Lada hitam , halia, serai, asam gelugur dan rempah ratus adalah sebagai perisa yang dijadikan aroma serta membangkitkan selera makan ibu.
Selain dari itu ulaman seperti pegaga (Centella asiatica), kunyit (Curcuma domestica), halia (Zingiber officinale), cekur (Kaempferia galanga), mengkudu (Morinda citrifolia) dan sebagainya boleh mengimbangi diet di dalam makanan ibu-ibu disamping mempunyai khasiat yang tinggi untuk tujuan rawatan semasa berpantang.
Menurut orang tua-tua buah mengkudu (Morinda citrifolia) jika dimakan mentah mempunyai khasiat yang sama dengan seperiuk ubat akar kayu.
Cara makannya: Ia perlu dimakan dengan sedikit garam dan terus ditelan. Ia tidak boleh dikunyah kerana boleh menyebabkan mulut berasa terbakar.
Makanan yang menyebabkan angin patut dielakkan. Angin atau dalam bahasa saintifiknya flatulence boleh didefinisikan sebagai situasi dimana seseorang terasa sangat kenyang.
Menurut Mary Easaw, Pengurus Dietetik & Dietari di Institut Jantung Negara, selain dari beberapa faktor tertentu, makanan turut menjadi penyumbang kepada masalah angin.
Masalah angin yang disebabkan oleh makanan adalah berbeza dari seorang individu kepada individu yang lain.
---------------------------------------------------------
CARA-CARA MENGIKAT BENGKUNG:
1. Sempurnakan ikatan barut.
2. Ikat satu hujung kain pada tombol pintu atau dipegang pembantu. Lilit bermula di bawah paras punggung. Pastikan satu hujung kain pendek, agak-agak melepasi kepala. Bahagian berkenaan dijadikan tulang bengkung.
3. Lilitan dipusing ke belakang, apabila tiba di depan, simpul pada bahagian pendek, kemudian pusing ke belakang semula.
4. Bahagian depan siap diikat.
5. Bahagian belakang, dililit kemas dan bertindih setiap satunya.

Makanan yang menyumbang kepada penghasilan angin di dalam perut:
1. Legumes: Kebanyakannya dari jenis kekacang kering, kacang panjang dan kacang soya.
2. Susu dan hasil susu: Susu, aiskrim dan keju.
3. Sayur-sayuran: Kubis, lobak putih, lobak merah, kubis brussel, bawang, kubis bunga, asparagus, timun dan brokoli.
4. Sayuran berubi: Kentang dan sengkuang.
5. Buah-buahan: Prun, aprikot, epal, kismis, pisang, sukun, nangka, pear dan pic.
6. Bijirin dan roti: Kesemua jenis makanan yang mengandungi gandum dan produk daripada gandum termasuk bijirin, roti dan pastri.
7. Makanan berlemak: Makanan bergoreng, lemak daging, sos krim dan sos tartar.
8. Cecair: Minuman bikarbonat soda, fizi, minuman bergas, ubatan atau serbuk.
9. Seserat (fiber): Kacang, oat, bran dan kacang panggang.

Tips Kempiskan Perut

[1] Minyak Zaitun

Tambahkan 2 sudu makan minyak zaitun ke dalam masakan yang berminyak, bersantan, berlemak atau berkolesterol tinggi seperti kambing, lembu, kerbau, udang dan sebagainya.

Dengan kaedah ini, semua lemak akan menjadi sisa tanpa diserap ke dalam badan. Ia juga boleh menghilangkan perut buncit, lemak serta mengatasi masalah berat badan.


[2] Limau Kasturi + Kapur Makan

Bentuk perut yang buncit memang jelek dipandang mata. Malah agak sukar pula untuk menggayakan fesyen terkini. Bagi yang telah mencuba pelbagai cara untuk menghilangkan lemak/ selulit di kawasan perut, bolehlah mencuba petua ini.

Ambil beberapa biji limau kasturi dan ambil jusnya. Perahkan ke dalam kapur makan. Gaul rata dan sapulah ke bahagian perut yang buncit.

Apa yang penting, anda kena rajin melakukannya setiap hari dan lihatlah hasilnya!

Berpantang 44 Hari

RAWATAN INTENSIF PANTANG BERSALIN NONA ROGUY

Sekiranya anda mengamalkan cara-cara yang diberikan secara bersungguh-sungguh dan penuh displin, maka anda akan mendapat apa yang anda impikan dengan Rangkaian Herbanika Bersalin Nona Roguy. Ianya sesuai samada untuk mereka yang bersalin secara normal atau ‘ceasarean’.

RAWATAN INTENSIF SELEPAS KELUAR DARI BILIK BERSALIN (DALAM WAD)

MINYAK HERBANIKA

Sambil baring berehat, pembantu perlu sapukan Minyak Herbanika ke bahagian peha, lutut, belakang lulut, betis dan tapak kaki; pakaikan stokin.

Ini membantu melembutkan urat saraf dan otot yang tegang (semasa meneran melahirkan anak) atau kurang pergerakan (semasa proses pembedahan) dan membantu melancarkan peraliran darah.

Kemudian, sapu rata Minyak Herbanika ke bahagian perut, ari-ari (kecuali bahagian pembedahan), tundun bahagian sulit, celahan peha, pinggul dan pinggang.

Kemudian, tuangkan Minyak Herbanika ke bahagian sulit (biar minyak mengalir ke celahan sulit ke bahagian episiotomi / luka jahitan), tuangkan ke bahagian tuala wanita anda (untuk caesarean juga). Pakai dengan selesa.

Ini membantu mempercepatkan proses penyembuhan luka jahitan dan memecahkan pengumpulan angin di usus dan rahim di samping membantu mengecutkan rahim secara luaran.

MINYAK BERUBAT MUSTAJAB

Sambil baring, pembantu menggosokkan Minyak Berubat Mustajab ke bahagian kulit kepala serta tengkuk anda. Kemudian, ikat rambut dengan rapi.

Ini membantu meredakan ketegangan urat saraf di kepala, leher dan tengkuk semasa proses peneranan berlaku ketika melahirkan anak.

UNCANG CUCI HERBANIKA

Anda digalakkan bercebuk bahagian sulit dengan air garam semasa di wad. Disyorkan cucian dan cebukan dengan Uncang Cuci Herbanika. Sediakan sebekas air suam panas, masukkan 2 genggam garam dan 2 paket Uncang Cuci Herbanika, tekankan paket agar keluar pati herba tehnya yang pekat atau gunakan Barra Gel, dititis ke dalam air dan dikocak sebati. Kacau sebati dan cebukkan ke bahagian sulit serta di luka jahitan.

Bersalin secara caesarian juga digalakkan bercebuk untuk kebersihan dan kesegaran sulit anda.

Selepas bercebuk, kesat kering perlahan-lahan. Ambil beberapa kapas lebar, tuangkan dengan Minyak Herbanika, lekapkan ke bahagian luka jahitan dan tuangkan Minyak Herbanika ke atas tuala wanita anda. Pakai dengan selesa.

Ini membantu menghindari daripada jangkitan kuman (infeksi), kegatalan kulit, membantu mengatasi bau yang tidak menyenangkan, menghindari dan menyembuhkan luka, kudis, nanah, masalah berair dan mempercepatkan penyembuhan luka jahitan (episiotomi).

AKAR HERBANIKA

Minum Air Akar Herbanika yang sedia direbus dan dituangkan ke dalam flask atau thermos. Disyorkan campuran Madu Lebah Asli (Pure Honey) ke dalam minuman Air Akar Herbanika anda. Minum suam panas.

Rebus 2 - 5 pkt Akar Herbanika dan 2 liter air sehingga mendidih. Boleh tambahkan sebatang serai (diketuk), 2 inci halia tua (diketuk), 1 sudu besar penuh halba dan daun pandan ke dalam air Akar Herbanika (jika mahu).

Ini membantu melancarkan peraliran darah dan pembersih darah (Antioksidan). Membantu melancarkan pengeluaran angin yang terperangkap di bahagian usus, saluran najis dan rahim. Ia mengembalikan kesegaran otot rahim, urat saraf dan kekuatan tenaga ibu bersalin di samping melancarkan pengeluaran susu ibu yang berkhasiat. Menghindari daripada kesakitan semasa pengecutan rahim berlaku.

Nota Perubatan Nona Roguy

Anda tidak perlu mengambil Mustajab PhytoNatal sekurang-kurangnya selama 3 - 7 hari sahaja. Jangan biarkan tanpa mengambil Mustajab PhytoNatal selepas 7 hari untuk menghindari daripada kemasukkan angin dan perut buncit serta menggeleber.

Nota Perubatan Doktor

Semasa masih di wad, anda boleh gabungkan perubatan yang diberikan doktor seperti pain-killer (penahan sakit), ubatan untuk buang angin atau melawaskan pembuangan air besar , antibiotik , panadol , ubat darah tinggi , kencing manis, lelah dan sebagainya.

RAWATAN INTENSIF DI RUMAH SEHINGGA GENAP SEBULAN

MUSTAJAB PHYTONATAL

~ Amalan pemakanan herba (tablet), bermula hari ke 4 selepas bersalin. Amalan setiap waktu pagi sebelum / selepas sarapan dan anda boleh amal 2 kali sehari iaitu waktu pagi dan sebelum tidur.

Buat pilihan dosej Mustajab PhytoNatal mengikut sistem pembuangan masing-masing untuk membantu melawaskan pengumpulan najis di usus, mengeluarkan keracunan, angin berlebihan, angin lendiran, air berlebihan dan membantu menurunkan berat badan berlebihan di samping membersihkan rahim dan melancarkan pengeluaran darah nifas, menyegarkan tubuh badan dan membantu mengecutkan rahim kembali normal.

Terlalu Lawas Buang Air Besar (Sensitif) ~ ambil 1 - 2 biji
Lawas Buang Air Besar (Normal) ~ ambil 2 - 3 biji
Tidak Lawas Buang Air Besar (Sembelit) ~ ambil 3 - 5 biji

Nota:

Adalah digalakkan mengambil tablet Mustajab PhytoNatal di waktu pagi supaya tidak mengganggu tidur anda di waktu malam.

Semasa pengamalan Mustajab PhytoNatal, anda boleh gabungkan dengan Pembersih Dalaman iaitu Mustajab Lawas Angin dan Mustajab Lawas Segar, atau tambahan Mustajab PhytoCleanse atau Mustajab PhytoCleanse Plus (tablet) jika bermasalah lebihan angin dan sembelit yang kronik.

AKAR HERBANIKA

~ Amalan minuman air Akar Herbanika boleh dimulakan dari hari pertama melahirkan anak.

Minum Air Akar Herbanika yang sedia direbus dan dituangkan ke dalam flask atau termos. Disyorkan campuran Madu Lebah Asli (pure honey) ke dalam minuman Air Akar Herbanika anda. Minum suam panas.

  • Rebus 2 - 5 paket Akar Herbanika dan 2 liter air sehingga mendidih. Boleh tambahkan sebatang serai (diketuk), 2 inci halia tua (diketuk), 1 sudu besar penuh halba dan daun pandan ke dalam air Akar Herbanika (jika mahu).
  • Minum 5 - 6 gelas/mug sehari untuk setiap hari.
HERBANIKA LULUR
~ Rawatan Luaran:
  • Sebelum mandi, ambil 1- 2 sudu besar penuh Herbanika Lulur (serbuk) campurkan dengan air suam dan sedikit Minyak Berubat Mustajab, jadikan pes.
  • Lumur seluruh badan dan lakukan lulur ke atas kulit badan anda.
  • Lakukan gosokkan dan urutan lembut ke bahagian-bahagian tertentu seperti berlebihan lemak, sengal atau lenguh, berpikmentasi (noda kehitaman) atau berkulit kasar.
  • Bilas dengan air suam atau air herba iaitu: Daun Inai, Daun Sireh Melayu, Daun Pandan, Daun Serai Wangi, Halia Tua (diketuk) dan Garam Kasar. (Semua bahan-bahan tersebut direbus sehingga air rebusan menjadi warna herba keperangan.
  • Kemudian, ambil 3 - 5 titis Barra Gel, gosokkan di kulit kepala dan urut lembut agar berbuih herba seperti syampu. Bilas dengan air paip. Kesat kering.
  • Jika tidak sempat berlulur, anda boleh gantikan dengan penggunaan Sabun Dhia (Sabun Cekur Susu Kambing) untuk digunakan pada seluruh kulit badan anda dan bilas dengan air suam atau air herba. Kesat kering.
Anda boleh buat pilihan daripada 2 jenis lulur mengikut keperluan anda.
1. HERBANIKA LULUR (SERBUK)
Untuk bermasalah menggeleber, kulit yang lembik, kekenduran payudara, berlebihan lemak, sejuk-sejuk, lenguh, sengal, masalah kulit kehitaman dan kasar dan keletihan yang berlebihan.
2. SABUN DHIA
Untuk amalan penjagaan harian anda untuk memelihara kulit agar halus, cerah dan bersih disamping membantu memecahkan lemak berlebihan, membantu mengatasi masalah selulit dan menegangkan kulit.
Nota:
Selepas mandi, anda boleh lakukan Rawatan Urutan dan Tuaman atau Bertuku. Jika tidak ada rawatan urutan, anda digalakkan lakukan Tuaman atau Bertuku dengan Batu Tuku Besi atau Batu Tuam yang dibakar panas bara dan dibalut dengan Daun Mengkudu Putih dan Daun Sireh Melayu, Kemudian, beberapa helai kain agar tidak terlalu panas.
Pastikan anda sapu Minyak Herbanika ke seluruh bahagian ulu hati, perut, pinggang, celahan peha, pinggul dan peha sebelum dan selepas bertuam. Bagi ‘caesarean’, jangan tuam di bahagian perut anda.
Semasa bertuam atau bertuku sendirian, pastikan anda gunakan Batu Tuku Besi atau Batu Tuam yang bulat. Bertuam dengan lembut dan jangan mencungkil atau menekan dengan kuat. Ini boleh merosakkan dalaman anda.
KRIM BARUT (Bentuk Krim) / HERBANIKA BARUT (Bentuk Serbuk)
Krim Barut dan Herbanika Barut adalah produk yang sama tetapi dalam bentuk yang berlainan.
Anda boleh buat pilihan mengikut keperluan anda.
1. Krim Barut - Picit tiub ke tapak tangan , saiz duit syiling 50 sen dan sapukan.
2. Herbanika Barut.
Sediakan Resipi Herbanika Barut:
- 4 sudu besar penuh serbuk Herbanika Barut
- 1 paket Asam Jawa (tanpa biji)
- Air (secukupnya)

Gaul sebati dan panaskan sehingga menjadi pes yang sederhana pekat (yang dapat melekat di kulit). Gunakan semasa suam.
Rawatan berbengkung atau berbarut. Bermula dari hari ke 4 selepas bersalin.
Cara berbengkung atau berbarut:
  • Selepas urut, bertuam atau bertuku ataupun tanpa rawatan-rawatan tersebut, anda perlu berbengkung (kerana ianya adalah perkara kedua penting selepas amalan pemakanan herba).
  • Sapu pada seluruh ulu hati, tulang rusuk, belakang pinggang, pinggul, punggung, perut, ari-ari, tundun kemaluan, celahan peha dan peha dengan Minyak Herbanika terlebih dahulu.
  • Sapu rata Krim Barut / Resipi Herbanika Barut dengan ke bahagian perut, ari-ari, pinggang, pinggul dan peha. Kemudian, gunakan sehelai kain tipis untuk membaluti pinggang dan perut anda agar resipi meresapi liangan kulit.
  • Ikat kain barut atau Bengkung Tradisional dari bawah iaitu di peha sehingga ke atas dengan kejab dan rapi.
  • Jika gunakan Strap-On Binder (Bengkung Moden), lapikkan dengan kain terlebih dahulu dan gunakan Strap-On Binder. Balutkan dengan kejab dan rapi dan pastikan anda tidak menekan Binder tersebut di bahagian tundun kemaluan. Sila balut Binder melepasi tundun kemaluan anda.
  • Biarkan dari pagi sehingga waktu lewat petang sekitar jam 7 malam. Bersihkan kulit perut dengan air suam atau sapukan semula Minyak Herbanika. Rehat seketika.
  • Waktu malam, gunakan bengkung atau barut semula.
  • Di waktu malam, ulangi pemakanan Krim Barut atau Herbanika Barut. Anda boleh buat pilihan untuk memakai Strap-On Binder, Girdle atau Bengkung Tradisional untuk keselesaan anda tidur pada waktu malam.
Nota:
Berbengkung atau berbarut perlu dilakukan dengan tekun sehingga keadaan perut anda kempis, pejal dan pinggang meramping serta langsing. Keadaan pinggul dan punggung anda juga tidak lagi kembang atau lebar. Teruskan rawatan ini selagi tiada perubahan pada kelangsingan tubuh badan anda.
Barut atau Bengkung bagi ‘Ceasarean’ pada awal 2 minggu pertama.
  • Selepas keluar dari wad, amat disyorkan amalan sapuan Minyak Herbanika sahaja di bahagian ulu hati, bahagian perut atas (upper abdomen), celahan peha dan pinggang anda.
  • Teruskan amalan sapuan Minyak Herbanika ini di bahagian perut kecuali di bahagian pembedahan yang masih ditutup dengan plaster atau clear bandage.
  • Adalah amat disyorkan jika anda gunakan 'Strap On Binder' secara moden yang dapat memberi sokongan pada bahagian perut agar tidak terasa berat atau jatuh. Ini membantu memberi sokongan pada rahim dan otot-otot perut anda. Gunakan 'Strap On Binder' yang lembut dan ringan, melepasi bahagian 'surgery' atau pembedahan tersebut.
Nota:
Para doktor bersalin menasihati agar menggunakan bengkung yang lembut, mudah didapati di farmasi (strap on binder) untuk kegunaan selepas 2 – 3 hari setelah melalui pembedahan.
Nota:
Apabila doktor menanggalkan plaster atau bandage, anda boleh mula sapu Minyak Herbanika ke bahagian luka pembedahan untuk mempercepatkan proses pemulihannya.
Barut atau Bengkung bagi ‘Ceasarean’ selepas 2 minggu (dan ke atas).
Selepas 15 hari atau 30 hari, amalan berbengkung atau berbarut boleh dilakukan seperti cara-cara yang dilakukan bagi bersalin secara normal (Sila rujuk catatan sebelum ini).
UNCANG CUCI HERBANIKA
~ Rawatan bercebuk , amalan bermula dari hari pertama sehingga hari ke 30.
  • Disyorkan cucian dan cebukan dengan Uncang Cuci Herbanika atau Barra Gel. Sediakan sebekas air suam panas, masukkan 2 genggam Garam dan 2 paket Uncang Cuci Herbanika, tekan paket agar keluar pati herba tehnya yang pekat atau masukkan Barra Gel. Kacau sebati dan cebukkan ke bahagian sulit serta diluka jahitan.
  • Selepas bercebuk, kesat kering perlahan-lahan. Ambil beberapa kapas lebar, tuangkan dengan Minyak Herbanika, lekapkan ke bahagian luka jahitan dan tuangkan Minyak Herbanika ke atas tuala wanita anda, pakai dengan selesa.
~ Amalan Bercebuk dan Berendam Pada Hari ke 31 sehingga 6 Bulan Sebagai Penjagaan Kebersihan dan Kesegaran Bahagian Sulit.
Sediakan Resipi Uncang Cuci Berdaun:
- 2 pkt Uncang Cuci Herbanika
- 10 - 15 helai Daun Sireh Melayu
- Segenggam Daun Inai
- Segenggam Garam Kasar
- 1 sudu besar penuh Jintan Hitam
- 1 sudu besar penuh Halba

Rebus dalam air sukatan lebih kurang 3 liter sehingga mendidih. Tuangkan air herba ke dalam besen yang muat punggung anda. Tambahkan 1 sudu besar penuh Minyak Berubat Mustajab dan Barra Gel ke dalam air herba, kocakan sehingga berbuih.
  • Cuci bahagian sulit bersih terlebih dahulu.
  • Duduk ke dalam air herba dari paras pinggang (pusat) ke pinggul, kaki dikeluarkan dari besen anda. Cebukan ke bahagian sulit luaran dan gunakan jari telunjuk untuk meruang ke dalaman saluran sulit anda.
  • Lakukan berendam, bercebuk dan meruang sehingga bersih dan terasa segar.
  • Rawatan ini perlu dilakukan sekurang-kurangnya selama 10 - 15 minit atau 20 minit sahaja. Bangun dan kesat kering.
  • Sapu ruangkan Minyak Berubat Mustajab dan Minyak Herbanika (gabungkan kedua-dua minyak) ke dalaman ruangan Saluran Sulit.
  • Untuk merapikan dan merapatkan saluran sulit anda (pastikan tiada darah nifas), ambil ½ - 1 sudu teh PhytoVagin Gel gaulkan cair dengan Minyak Berubat Mustajab atau tanpa minyak, sapuruangkan ke dalaman saluran sulit sehingga tersentuh pintu rahim anda. Biarkan sehingga sebelum tidur, cuci dengan air dan Barra Gel, ruangkan dalaman agar tiada kesan gel tadi.
  • Sapu ruangkan Minyak Berubat Mustajab dan Minyak Herbanika (gabungkan kedua-dua minyak) ke dalam ruangan saluran sulit, sebelum tidur ataupun sapuruang semula PhytoVagin Gel dan Minyak Berubat Mustajab.
Nota:
Untuk amalan wanita ke arah kerapian dan kesegaran sulit.
Anda boleh menggunakan cucian dan meruang dengan Barra Gel dan air. Bilas dengan air dan kesat kering.
Sapukan PhytoVagin Gel (sebesar 50sen) ke ruang saluran sulit. Biarkan selama 2-5 jam, kemudian bilas dan kesat hingga kering.
Pemakanan atau Diet Semasa Di Wad dan Selama 44 Hari
  • Nasi panas sederhana lembut / lembut, bubur nasi, spagetti, pasta dan makaroni.
  • Sayur-sayuran yang boleh dimakan ialah bebawang merah, putih, besar, karet, ulaman pegaga, lemuni, daun dan bunga kunyit, brokoli, dedaun pudina dan kari.
  • Ikan yang segar iaitu ikan merah, tenggiri, haruan, jenahak, selar kuning, kerisi, kurau, kerapu, siakap, kod, bawal putih dan senangin.
  • Makanan bijirin iaitu gandum (oats), empingan jagung (corn flakes), bran, muesli, beras merah, beras perang, beras, kismis kuning dan hitam, kekacang soya (tauhu, tempe dan tofu), kekacang badam, walnut, makadamia, gajus dan bijan, roti putih, roti wholemeal / wholegrains, roti canai, chapati, tosei, roti puri dan kari.
  • Buah-buahan yang boleh dimakan ialah epal merah, oren manis (limau manis), kurma, buah zaitun, buah tin (fig), delima, pir, lai, pic, aprikot, strawberi, anggur (jangan berlebihan boleh sebabkan batuk), jus epal, ribena dan sirap. Minuman berkhasiat iaitu, susu, kacang soya, horlicks, milo dan akar herbanika. Gunakan gula merah, gula perang, raw sugar dan madu lebah.
  • Banyakkan minum air.
[Credits to : Nonaku.com]

Resipi Berpantang [3]

[1] SUP HARUAN

Mudah saja menyediakan Sup Haruan ini.

Ia cuma memerlukan sedikit air asam jawa, lada hitam dan juga halia.

Rebus dengan sedikit air sehingga ikan haruan masak.

Kata ibu, orang dalam pantang elok makan ikan haruan. Lebih2 lagi bagi mereka yang bersalin melalui pembedahan. Ikan haruan akan mempercepatkan proses penyembuhan luka.

[2] HARUAN BAKAR

Ikan haruan dibakar dan hanya boleh dimakan dengan air asam jawa pekat, bawang besar dan lada hitam.

Ulam boleh ditambah iaitu ulam pegaga.

[3] SUP AYAM

Sup ayam hendaklah direbus hanya dengan rempah tumis, lada hitam, garam dan halia yang banyak. Supnya tidak boleh banyak.

[4] SUP KENTANG

Orang berpantang tidak boleh banyak minum air dan makan makanan berminyak.

Oleh itu sesekali untuk membasahkan tekak, anda boleh menikmati Sup Kentang yang dicampurkan dengan Suun.

Ia direbus hanya menggunakan halia dan lada hitam. Bagaimanapun, supnya tidak boleh banyak.

[5] BILIS SANGAI

Ikan bilis disangai hingga garing. Kemudian dicampurkan dengan halia.

Bahan tambahan ialah air asam jawa dan dimakan dengan 5 ulas bawang merah dan ulam pegaga.

[6] HALIA PADI

Halia padi adalah halia yang kecil isinya.

Dengan memakan halia ini, ia bertindak membuang angin dalam badan.

Hidangan ini boleh dimakan dengan air asam, bawang merah dan juga lada hitam.

[7] HALIA BARA

Halia bara dihidangkan dengan 5 ulas bawang merah, air asam jawa dan sedikit lada hitam.

Ia hendaklah selalu dimakan kerana ia dapat memanaskan badan ibu yang baru bersalin.

Selain halia bara, anda juga boleh makan isi jerangau ataupun lempoyang.

[8] BONGLAI

Ia berguna untuk menghilangkan bau ketiak dan badan. Susu badan juga tidak akan berbau.

Bonglai dibuangkan kulit dan dimakan dengan bawang besar yang dimayang dan juga air asam jawa pekat yang dibancuh dengan sedikit garam.

Air asam membantu mengecutkan dinding perut yang mengembang setelah bersalin.

[9] POKOK KUNCI

Ia berbentuk panjang berwarna coklat. Kulitnya dibuang dan ia dimamah begitu saja dengan nasi.

Pokok Kunci bertindak mengunci nafsu makan dan angin pada badan.

[10] PEGAGA

Amalkan makan pegaga sewaktu dalam pantang

Resipi Berpantang [2]


Secara umumnya, wanita di dalam pantang tidak dibenarkan makan makanan laut (udang, ketam, sotong) kerana boleh menyebabkan kegatalan pada luka; telur boleh menyebabkan luka lambat sembuh dan mungkin bernanah.


Ikan yang boleh dimakan adalah dari jenis bersisik (tidak bisa) atau yang tidak menyebabkan kegatalan seperti ikan siakap, haruan (menyembuhkan luka), bawal putih/hitam, gelama dan ikan tenggiri.


Antara sayur-sayuran dan buah-buahan yang tidak dibenarkan adalah seperti kubis, tebu, air kelapa dan buah anggur kerana akan menyebabkan tubuh sejuk atau 'berangin'.



1. SUP IKAN HARUAN

Bahan-bahan:

1 ekor ikan haruan
2 cawan air
2 sudu makan minyak jagung
1 sudu makan lada hitam - ditumbuk
3 ulas bawang merah - ditumbuk [A]
2 ulas bawang putih - ditumbuk [A]
2 sm halia - ditumbuk [A]
1 keping asam keping
Garam secukup rasa
Daun bawang & daun sup - dihiris

Cara menyediakan:

a) Ikan dipotong dan dibersihkan dengan air asam jawa untuk menghilangkan bau hanyir. Bilas dengan air bersih. Toskan.

b) Panaskan minyak jagung dalam periuk. Tumiskan bahan A hingga wangi. Masukkan air.

c) Apabila mendidih, masukkan lada hitam, asam keping dan ikan. Kacau rata dan masak lagi hingga mendidih.

d) Taburkan daun bawang, daun sup dan garam. Kacau rata dan hidangkan.


2. IKAN HARUAN ASAM KUKUS

Bahan-bahan:

1 ekor ikan haruan - dibersihkan
1 cawan air asam jawa
3 sudu makan minyak jagung
2 sudu makan kicap cair
1 sudu makan serbuk lada hitam
1 sudu teh gula pasir
1 sudu teh tepung jagung - campurkan sedikit air
1 tangkai daun kesum
1 batang bunga kantan - dihiris
Garam secukup rasa

Bahan kisar [A]:

6 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
2 sm kunyit hidup
1 sm lengkuas
1 batang serai - diketuk
1 sudu teh lada hitam - ditumbuk

Cara menyediakan:

a) Ikan digaul dengan garam dan serbuk lada hitam. Ketepikan selama 30 minit.

b) Panaskan minyak dalam periuk. Tumiskan bahan A hingga wangi.

c) Masukkan air asam jawa, kicap cair, gula dan garam. Bila mendidih, masukkan pes tepung jagung, daun kesum dan bunga kantan. Kacau hingga pekat.

d) Sementara itu, kukus ikan haruan tadi sehingga masak. Letak dalam pinggan.

e) Apabila kuah mendidih, tuangkan atas ikan tadi sehingga rata. Hidangkan.


3. DAGING LADA HITAM

Bahan-bahan:

500 gm daging lembu
1 biji bawang besar - dihiris
5 ulas bawang putih - dicincang halus
2 sudu makan minyak jagung
1 sudu makan lada hitam - ditumbuk kasar
1 sudu makan kicap manis
Garam secukup rasa

Cara menyediakan:

a) Daging dihiris nipis dan dibersihkan.

b) Panaskan minyak jagung. Goreng daging hingga agak garing. Angkat.

c) Masukkan bawang besar dan bawang putih ke dalam baki minyak gorengan tadi. Kacau hingga wangi.

d) Kemudian masukkan semula daging, kicap, lada hitam dan garam. Kacau rata-rata kemudian angkat. Hidangkan.


4. PAIS IKAN TENGGIRI
Bahan-bahan:
2 potong ikan tenggiri (anggaran 400 gm) - dibersihkan
1 sudu teh asam jawa - campurkan 3 sudu makan air
1/2 sudu teh serbuk kunyit
3 helai daun pisang - dilayur
3 ulas bawang merah - ditumbuk (A)
1 biji cili merah - ditumbuk (A)
1 ulas bawang putih - ditumbuk (A)
Garam secukup rasa

Cara menyediakan:

a) Satukan bahan A dengan serbuk kunyit dan air asam jawa. Tambah garam. Lumurkan campuran ini pada ikan hingga rata. Perapkan selama 30 minit.

b) Bungkus ikan ini dengan daun pisang. Bakar atas bara api atau dalam ketuhar dengan suhu 200 darjah C hingga masak. Angkat dan hidangkan.



5. IKAN SIAKAP PANGGANG

Bahan-bahan:

1 ekor ikan siakap
50 ml pati santan
1 batang serai - dikisar [A]
2 ulas bawang merah - dikisar [A]
1 sm kunyit hidup - dikisar [A]
1 ulas bawang putih - dikisar [A]
1 sudu makan minyak masak
1 sudu teh gula pasir
Garam secukup rasa

Cara menyediakan:

a) Perap ikan dengan separuh bahan A selama 1 jam.

b) Letak ikan di atas aluminium foil. Bakar dalam ketuhar dengan suhu 180 darjah C selama 15-20 minit atau sehingga masak.

c) Panaskan minyak dan tumiskan lebihan bahan A hingga garing. Masukkan santan dan kacau hingga pekat.

d) Kemudian masukkan garam dan gula pasir. Kacau rata. Sedia untuk dihidangkan dengan ikan siakap.


6. IKAN TENGGIRI GORENG HALIA

Bahan-bahan:

1 keping ikan tenggiri
4 sm halia - dihiris & digoreng
2 sudu makan minyak bijan
1-2 sudu makan kicap manis
1/2 sudu teh serbuk kunyit
1/2 sudu teh garam

Cara menyediakan:

a) Lumur ikan dengan garam dan serbuk kunyit. Biarkan selama 20 minit.

b) Panaskan minyak bijan dan goreng ikan sehingga garing. Ketepikan.

c) Tinggalkan sedikit minyak dalam kuali. Masukkan ikan semula. Tuangkan kicap dan kacau rata.

d) Angkat ikan dan letak ke dalam pinggan. Taburkan halia goreng di atasnya. Sedia untuk dihidangkan.


7. IKAN GELAMA PANGGANG

Bahan-bahan:

1 ekor ikan gelama
1/2 sudu teh serbuk kunyit
Sedikit garam

Cara menyediakan:

a) Ikan dibersihkan. Jika suka, kelar badan ikan supaya ikan cepat masak.

b) Gaulkan dengan garam dan basuh hingga bersih. Toskan.

c) Kemudian gaulkan ikan dengan garam dan serbuk kunyit. Panggang atas bara api hingga masak. Sedia untuk dihidangkan.


8. AYAM KUKUS BERCUKA

Bahan-bahan:

8 ketul ayam
4 ulas bawang putih - ditumbuk
1 sm halia - ditumbuk
3 sudu makan cuka
Garam secukup rasa

Bahan tumbuk [A]:

1 sudu makan ketumbar
1 sudu teh jintan manis
1 sudu teh jintan putih

Cara menyediakan:

a) Lumurkan ayam dengan bawang putih, halia dan garam. Perap selama 30 minit. Kemudian kukus ayam sehingga masak.

b) Tuangkan cuka pada ayam dan taburkan bahan A. Kukus lagi selama 5 minit.

Nota: Masakan yang mengandungi cuka sangat baik diambil oleh ibu selepas bersalin kerana dapat mengecutkan perut dan rahim.


9. AYAM MASAK BIJAN

Bahan-bahan:

1/2 ekor ayam - dibuang kulit, dipotong & dibersihkan
4 sm halia tua - dihiris halus
3 sudu makan minyak bijan
1 - 2 sudu makan kicap manis
Sedikit garam
Air secukupnya

Cara menyediakan:

a) Panaskan minyak bijan dalam kuali. Tumis halia hingga wangi.

b) Masukkan ayam dan kacau rata. Tutup kuali dan masak ayam selama 20 minit dengan api kecil. Tuangkan sedikit air supaya tidak terlalu kering.

c) Akhir sekali, masukkan kicap dan kacau rata. Bila ayam masak, tutup api. Tambah garam jika perlu.


10. HATI MASAK BEREMPAH

Bahan-bahan:

300 gm hati lembu
2 sudu makan serbuk lada hitam
1 sudu makan serbuk rempah kari
1 sudu teh serbuk ketumbar
4 ulas bawang putih - dikisar [A]
2 ulas bawang merah - dikisar [A]
2 sm halia - dikisar [A]
1 sm lengkuas - dikisar [A]
Garam secukup rasa

Cara menyediakan:

a) Hati lembu dipotong dan dibersihkan.

b) Gaulkan hati lembu dengan bahan A, garam dan serbuk rempah yang lain sehingga rata.

c) Perapkan semalaman di dalam bekas bertutup yang disimpan dalam peti sejuk.

d) Bakar dalam ketuhar pada suhu 200 darjah C selama 30 - 35 minit atau sehingga masak.

Nota: Hati lembu menambahkan darah.


11. HALWA HALIA

Bahan-bahan:

250 gm halia - dihiris nipis
250 ml air
5 ulas bawang putih - dibakar & dibelah dua
2 sudu makan gula pasir
1 sudu teh cuka
Garam secukup rasa

Cara menyediakan:

a) Celur halia dalam air panas selama 5 minit. Toskan.

b) Masak gula pasir, garam, cuka dan air hingga mendidih. Sejukkan.

c) Masukkan halia dan bawang putih ke dalam mangkuk. Tuangkan air rebusan tadi. Tutup kemas dan biarkan semalaman.


12. JUS HALIA KURMA

Bahan-bahan:

200 gm halia
20 biji buah kurma
750 ml air masak

Cara menyediakan:

a) Tumbuk halia hingga lumat.

b) Belah buah kurma dan buangkan bijinya.

c) Jerang halia, kurma dan air dalam periuk. Renehkan selama 3 jam. Bila mendidih, perlahankan api.

d) Tapis dan kemudian hidangkan panas atau suam.


13. REBUSAN MANJAKANI

Bahan-bahan:

5 biji buah manjakani
500 ml air
2 sm halia tua
2 sm kunyit tua
2 keping asam keping

Cara menyediakan:

a) Satukan kesemua bahan ke dalam periuk.

b) Jerang di atas api sederhana hingga mendidih.

c) Perlahankan api dan renehkan selama 10 minit.

d) Tapis dan minum air ini setelah suam.

Nota: Manjakani berfungsi untuk mengering dan mengetatkan pangkal rahim. Tidak sesuai diminum oleh gadis/anak dara kerana ditakuti menjadi penyebab mandul.


14. REBUSAN PEGAGA

Bahan-bahan:

2 ikat pegaga
5 cawan air

Cara menyediakan:

a) Rebus pegaga dengan air di dalam periuk hingga tinggal anggaran 3 cawan air sahaja.

b) Minum apabila suam (2 kali sehari).

Nota: Minum air rebusan pegaga untuk membersihkan darah dalam tubuh ibu yang baru melahirkan anak.


15. TUMIS SAWI PUTIH

Bahan-bahan:

5 tangkai sawi batang putih - dipotong
1 sm halia - dihiris
10 ekor ikan bilis - dibersihkan
1 sudu teh minyak masak
Garam secukup rasa
Air secukupnya

Cara menyediakan:

a) Tumiskan halia dan ikan bilis dalam minyak panas hingga garing.

b) Masukkan sawi. Kacau rata dan tuangkan air.

c) Tutup sebentar dan biarkan lembut. Tambah garam dan angkat.

Nota: Sawi putih membantu menambahkan susu ibu.


16. PERIA LADA HITAM

Bahan-bahan:

1 biji buah peria - dihiris
200 ml air
100 gm ikan bilis - dibersihkan
2 ulas bawang putih - dicincang halus
2 batang serai - diketuk
1 sm kunyit hidup - ditumbuk halus
1 sudu makan lada hitam - ditumbuk kasar
1 sudu teh serbuk ketumbar
1 sudu teh serbuk lada sulah
Garam secukup rasa

Cara menyediakan:

a) Masukkan semua bahan kecuali peria ke dalam kuali. Jerangkan.

b) Kacau sekali-sekala hingga mendidih.

c) Masukkan peria dan masak lagi hingga empuk.

d) Masakan hendaklah dikacau selalu bila bertambah pekat dan kering.



17. TEMPE GORENG KICAP


Bahan-bahan:

5 keping tempe - dihiris panjang
50 gm ikan bilis - dibersihkan
3 ulas bawang merah - dikisar [A]
2 ulas bawang putih - dikisar [A]
2 biji cili merah - dikisar [A]
1 sudu makan kicap pekat
1 1/2 sudu teh cuka
1 sudu teh gula pasir
Sedikit daun bawang - dihiris
Minyak masak
Garam secukup rasa

Cara menyediakan:

a) Panaskan minyak dan goreng tempe hingga separuh garing. Toskan.

b) Masukkan ikan bilis dan goreng hingga garing. Toskan.

c) Tinggalkan sedikit minyak dan tumiskan bahan A hingga wangi. Jika perlu, masukkan sedikit air.

d) Masukkan tempe, ikan bilis, kicap, cuka, daun bawang, garam dan gula pasir. Kacau rata dan masak hingga kering.



18. SUP SAYUR CAMPUR


Bahan-bahan:

400 ml air
200 gm brokoli
1 biji lobak merah
1/2 biji lobak putih
1/2 batan seleri
3 helai daun kubis
Secubit serbuk pati ikan bilis
1 sudu makan minyak masak
Garam secukup rasa


Bahan tumbuk [A]:

2 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 sudu teh rempah biji
1 sudu teh lada hitam
1/2 sudu teh jintan putih


Cara menyediakan:

a) Potong lobak merah, lobak putih dan seleri. Ceraikan brokoli menjadi berkelopak. Kubis pula dihiris kasar.

b) Panaskan minyak masak ke dalam periuk. Tumiskan bahan A hingga wangi.

c) Masukkan serbuk pati ikan bilis dan air.

d) Apabila mendidih, masukkan sayur-sayuran.

e) Bila sayur lembut, masukkan sedikit garam, kacau rata dan tutup api. Sajikan panas-panas.

Nota: Sayur-sayuran ini membanyakkan air susu ibu.